<$BlogRSDURL$>

Tuesday, July 28, 2009


Heres the performance's review taken from Berita Harian's article about Bangsawan Cilik Putri Anggun Delima.



Photobucket

25 Julai 2009

EKSTRA!

REVIU PEMENTASAN
Segar, lucu & mendidik

Pelakon cilik Sriwana berjaya hayati dialog bangsawan

Oleh
Nadiputra

Pementasan: Bangsawan Cilik Putri Anggun Delima

Karya: Rilla Melati Bahri

Arahan: Izzat Mohd Yusoff, persembahan Sriwana

Tarikh: Ahad, 19 Julai, 4 petang dan 8 malam, Panggung Victoria.

SELEPAS pementasan, apabila saya meminta komen Penaung Sriwana, Encik Hawazi Daipi, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Kesihatan, mengenai bangsawan baru ditontoninya, sambil tersenyum lebar dan menghela nafas, beliau mengaku seronok dan terhibur.

Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom, pula gamam dan berasa takut mahu bercakap.

Yalah 'takut masuk bakul angkat sendiri.' Saya akur.

Skrip bangsawan cilik Putri Anggun Delima (PAD) berat olahannya dari segi penularan kejadian yang lebih condong ke arah ciri-ciri penulisan naskhah TV.

Namun pengarah Izzat Mohd Yusoff mampu menggembeling seratus peratus tenaga pelakon cilik Sriwana (kecuali pelakon undangan Mahadi Shor dan Zainal Ihim, juga anggota Sriwana), para tenaga kerja pentas 'muda belia' Sriwana, ke satu persembahan teater kanak-kanak yang amat menarik, memberangsangkan dan menghibur. Tahniah dan syabas.

Naskhah Rilla Melati menuntut pelbagai keperluan dan alur-alur persembahan yang menggerak nadi penceritaan teater kanak-kanak yang begitu segar, lucu, seram dan mendidik.

Rata-rata hampir kesemua pelakon cilik berjaya menghayati dialog bangsawan. Mereka mampu mengekang kehambaran pementasan dengan telatah dan ragam lucu kanak-kanak yang cuba dewasakan diri sebagai Sultan Alam Shah (Nazrul Fathmi), Putri Anggun Delima (Nadia Nur Diyana), Permaisuri Hina (Sharafana), Puteri Cempaka (Qistina), Puteri Melur (Eliyasari), Syaer (Emilia Ezzaty), Indra Safri (Emmireen), Helmi (Shafiq), para pengawal dan sebagainya.

Kesudahannya, 'cute', bisik seorang penonton yang tidak dapat menahan ketawa dek ragam lakonan kanak-kanak yang 'katik-katik' cuba menjadi orang besar.

Bukan mudah menggeletek penonton, sekalipun ia diperankan oleh orang dewasa. Namun kematangan Rilla menyelami naluri dan jiwa kanak-kanak melalui naskhahnya membantu Izzat hidupkan naskhah yang mencabar kreativitinya sebagai pemain teater.

Beliau jarang sekali berdepan dengan realiti dan kerenah bangsawan, apatah lagi mengarahnya. Dengan khidmat nasihat tatasusila bangsawan daripada para pelakon veteran Sriwana, Azman Shariff, dan isteri, Mahyunis Mahfudz, serta pembimbing bengkel lakonan kanak-kanak Sriwana, Norsiah Ramly, Izzat berjaya mengulit kerumitan PAD daripada pengalamannya berdamping dengan almarhumah Nenek Rifin, almarhum Haji Shariff Medan, Pak Hamid Ahmad serta Atin Amat.

Keyakinan Sriwana memberi laluan kepada para pereka tari remaja mereka - Hafizah Jumaeh, Zannury Zakarea, Mohd Nizarfauzi Norlie, Fauzi Anwar, Aziela Shaik Abdul Rahim, Muhd Hazmi Ghazali dan Siti Asmida - berhasil melahirkan ragaman kesinambungan cerita yang berlainan, segar dan menarik.

Pencahayaan Izzat dan Mohd Nor memberi aura dan olahan suasana yang tepat dengan alam dan pakaian para penari, props, set serta watak yang beraneka.

Kepelbagaian warna suasana dapat dirasakan dengan penukaran pencahayaan yang bijak pada setiap adegan yang lain - cepat dan menghakis pembuangan waktu pementasan.

Kerumitan mengendalikan sulaman rentetan adegan yang diilhamkan Rilla diatasi dengan baik oleh pengurus pentas Mohd Alfyan Ariff dan pembantunya, Hakim Sham, serta para petugas lainnya di sebalik tabir.

Ia menunjang pementasan ini dengan pelaksanaan dan koordinasi penukaran set, pencahayaan, props dengan penuh disiplin, sekalipun masih terdapat ruang-ruang yang masih boleh diperkemas. Namun kepelbagaian senario yang diterapkan dalam naskhah menjadikannya seakan santapan istimewa Hikayat Seribu Satu Malam yang dimaniskan dengan gelagat seratus peratus pelakon cilik Sriwana.

Cerita yang berkisar daripada pengembaraan Helmi ke alam bangsawan menerusi ekspedisi ke taman bunga kelihatan klise.

Namun ia mantap dengan insiden-insiden penerokaan Helmi ke tragedi di istana Sultan Alam Shah terhadap konspirasi Putri Anggun Delima yang dianiaya oleh ibu tirinya, Permaisuri Hina, kerana cemburukan puteri-puteri kandungnya, Puteri Cempaka dan Puteri Melor, yang konon tidak diberi perhatian oleh Sultan.

Dengan khidmat nenek kebayan, lakonan penari remaja Sriwana, Elsi Melissa, yang begitu menarik, Putri Anggun Delima disihir menjadi bunga. Kelaziman bangsawan, akhirnya PAD diselamatkan dengan penawar susu harimau beranak muda - diperolehi daripada seorang pendeta oleh Helmi berserta Jelon dan Capte - 'tipikal' watak penglipur lara bangsawan yang berjaya menyuntik humor oleh Zainal Ihim.

Sumbangan Mahadi Shor sebagai Jin juga memporak-perandakan suasana tegang dan lucu. Sebagai pelawak berwibawa, Mahadi dan Zainal berjaya menyelit-suai (adlib) beberapa kegenjotan dialog kanak-kanak (yang terlupa atau terseliuh), menjadikan suasana lebih gamat dan menggelikan hati.

Pujian juga harus diberi kepada Riau Rhythm Chambers yang diundang khas melestarikan muzik latar PAD.

Sriwana tidak terlepas daripada tradisi warisan bangsa dalam apa jua bentuk persembahannya. Bangsawan cilik ini dapat mendidik, menyuntik apresiasi seni pusaka warisan bangsa kepada anggota- anggota ciliknya dengan baik dan cermat sekali.


Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?